January 21, 2010

Matlamat dan Objektif Matematik KBSM

Sebelum kita mendalami ilmu matematik, elok rasanya jika kita memahami terlebih dahulu matlamat dan objektif matematik KBSM.

Matlamat dan Objektif Matematik KBSM

Kurikulum Matematik KBSM membekalkan pendidikan matematik yang umum, menyeronokkan dan mencabar bagi semua pelajar, yang memberi fokus kepada keseimbangan antara kefahaman konsep dengan penguasaan kemahiran, penggunaan matematik dalam situasi sebenar, kemahiran menyelesaikan masalah serta cara berfikir secara logik, kritis dan bersistem. Turut diberi perhatian ialah penerapan nilai murni untuk melahirkan warga negara yang dinamik dan amanah ( KPM,1990; Nik Azis, 992 ). Selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara, Matematik KBSM telah dirancang untuk memberikan pelajar suatu pengalaman yang mengandungi:

  • kesepaduan antara ilmu, kemahiran, nilai dan bahasa;
  • kesepaduan antara tajuk-tajuk matematik yang dipelajari;
  • kesepaduan antara matematik dengan mata pelajaran lain dan;
  • kesepaduan antara matematik yang dipelajari dengan pengalaman di luar bilik darjah.

Sehubungan dengan itu beberapa aspek tertentu diberikan tumpuan khas dalam sukatan pelajaran Matematik KBSM. Aspek-aspek itu adalah:

  • keseimbangan antara kefahaman terhadap konsep dan penguasaan kemahiran;
  • penggunaan matematik dalam situasi sebenar;
  • kemahiran penyelesaian masalah;
  • penerapan unsur-unsur sejarah matematik dan
  • pemupukan nilai-nilai kemanusiaan, kemasyarakatan dan kerohanian.

Matlamat Matematik KBSM adalah untuk memperkembangkan pemikiran mantik, analitis, bersistem dan kritis, berkemahiran dalam penyelesaian masalah dan ber kebolehan menggunakan ilmu pengetahuan matematik supaya seseorang individu dapat berfungsi dalam kehidupan seharian dengan berkesan dan bertanggungjawab, dan menghargai kepentingan dan keindahan matematik.

Secara ringkas, objektif Matematik KBSM ialah untuk membolehkan pelajar;

  1. mengetahui dan memahami konsep, takrif, hukum, petua dan teorem tentang nombor dan ruang;

2. memperkukuh dan memperluas penggunaan kemahiran tambah, tolak, darab dan bahagi;

3. menguasai kemahiran-kemahiran asas iaitu :

  • membuat anggaran dan penghampiran
  • mengenali bentuk-bentuk dalam alam sekitar
  • mengukur dan membina dengan menggunakan alat matematik
  • mengumpul, merekod, mewakili dan mentafsirkan data dan
  • mengenali dan mewakilkan perkaitan secara matematik

4. menguasai kemahiran menjalankan algoritma

5. menguasai kemahiran menyelesaikan masalah

6. menggunakan pengetahuan dan kemahiran matematik dalam pengurusan kehidupan seharian

  1. memperoleh dan menghargai kebolehan membuat sesuatu secara mantik, bersistem, heuristik dan tepat.

( NCTM, 1980; KPM, 1990 )

Jelas dapat diperhatikan sama ada daripada matlamat atau objektif pendidikan matematik, bahawa setiap pelajar dikehendaki memahami setiap konsep, dan diikuti dengan penguasaan kemahiran-kemahiran berkenaan di samping menghayatinya dalam kehidupan seharian, kerana pemahaman konsep matematik penting dalam meningkatkan kemampuan pelajar menyelesaikan sesuatu masalah.

No comments:

Post a Comment